Tuesday, October 25, 2016

Kempen Penyertaan Kayuhan Basikal Klasik Bandar DiRaja Klang 2016

Perkhabaran yang dinantikan sudahpun membuahkan keputusan. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana mengurniakan aku peluang dan kesempatan untuk menyertai acara Kayuhan Santai Basikal Klasik Bandar DiRaja Klang 2016 yang bakal diadakan pada 30 Oktober ini. Terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang sudi membuka ruang dalam intisari program tahunan mereka dengan merancanakan sebuah program seperti ini untuk kami warga berbasikal klasik. Acara ini turut mendapat kerjasama serta diundangsama oleh sebuah entiti yang cukup terkenal dan tidak asing lagi buat seluruh warga penggiat basikal klasik. Entiti atau organisasi tersebut adalah Port Swetthenham Classic Bicycle (PSCB) yang dinaungi oleh saudara Ezafel Rafique atau lebih sinonim dengan panggilan Along.

Oleh itu, anda semua diundang beramai-ramai untuk datang bertandang ke Kompleks Sukan Pandamaran Klang. Tidak kira anda seorang pengayuh basikal klasik mahupun bukan kerana terdapat pelbagai aktiviti sampingan telah direncanakan seperti senamrobik perdana, gerai-gerai jualan barangan, jualan makanan dari foodtruck dan pelbagai lagi. Ini berikutan program berbasikal klasik ini telah disusunatur ke dalam agenda Karnival Mini Mega Sales yang berlangsung dari 28 ke 30 Oktober 2016. Ayuh kilat dan gilapkan basikal klasik anda. Tidak kira sahabat lama mahupun baru yang belum berkenalan lagi. Bersama kita memeriahkan acara ini dengan berbasikal klasik secara santai menyusuri tempat-tempat bersejarah sekitar bandaraya Klang. 

 

Monday, October 17, 2016

Lambaian Dari Pandamaran Klang

Tujuh Ratus tiga puluh hari. Dengan erti kata lain bersamaan juga kepada dua tahun. Satu tempoh yang cukup lama. Itulah anggaran tempoh ketidakhadiran ku dalam menceburi mana-mana aktiviti berbasikal klasik. Kepada mereka yang mengenali ku, mungkin mereka sudah akur dan faham terhadap pengorbanan masa ku lebih-lebih lagi pada setiap hujung minggu. Kadang-kadang tu terdetik juga rasa terkilan akan ketidakupayaan aku untuk mengikuti aktiviti kayuhan. Moga ada hikmahnya. Semoga Allah mengurniakan kita kemudahan dan hidayah dalam menguruskan segala tanggungjawab baik berkaitan duniawi mahupun akhirat. Aamiiin.

Suatu perkhabaran baik telah aku terima. Iaitu pada tanggal 30hb Oktober ini akan berlangsungnya sebuah acara berbasikal klasik yang bakal diadakan di Pandamaran Klang. Perkhabaran ini membuatkan aku begitu teruja. Manakan tidaknya, ia merupakan sebuah program yang cukup terkenal (dari segi lokasinya) buat semua penggiat basikal klasik dengan kemeriahan dan kesemarakannya. Acara yang bakal berlangsung ini bukanlah sebuah acara julung kalinya. Ia telah pun diadakan beberapa kali dan aku berkesempatan menyertainya sebanyak dua kali. Tiadalah aku berhasrat ingin mencoretkan pengalaman tersebut di artikel ini. Akan tetapi kepada mereka yang ingin mengetahui cebisan kenangan acara tersebut bolehlah menyusuri pada beberapa foto berikut serta disertakan sekali pautan link kepada artikel acara yang lepas seperti di bawah ini:- 

  1. 2.Pengalaman Kayuhan "B.E.S" Di Klang  (Klik untuk artikel lengkap)


Perasaan teruja ku ini sebenarnya bercampur aduk dengan perasaan khuatir. Kekhuatiran ini adalah kerana acara pada tarikh 30hb ini bakal bertindih dengan rutin tanggungjawab yang digalas pada setiap hujung minggu. Walau bagaimanapun akan aku usahakan satu jalan penyelesaian supaya program tersebut dapat aku sertai jua. Sudah lama rasanya tidak ketemu rakan taulan. Ingin sekali aku bertanyakan khabar mereka, bergurau senda dan yang paling seronok adalah berkayuh basikal klasik beriringan dengan mereka. Dapatkah aku mengikuti acara ini? In shaa Allah nantikan perkhabaran selanjutnya tidak lama lagi.  

Thursday, September 1, 2016

Telur Ayam Hutan Tersulung

Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Pertama kali saya melihat telur ayam hutan. Bukan telur ayam kampung ya tapi telur ayam hutan. Pertama kali melihat, memegang dan membelek telur tersebut yang baru berusia sehari menetes. Segar dari mini ladang di tengah-tengah kota metropolitan. Tak sangka saiz telur ayam hutan sungguh kecil malah lebih kecil berbanding ayam kampung. Putih melepak dan saiznya mirip sebuah bola ping-pong. Cuma bezanya bulat telur ini berbentuk bujur sedikit. Saya bercadang untuk membiarkan hasil pertama ini diperam oleh induk ibunya dengan harapan akan lahirlah beberapa ekor anak ayam untuk generasi kedua. Lantaran saya ingin mengakhiri artikel yang singkat ini, ntah mengapa kota minda saya asyik terpampang perkataan -> mata kerbau, dadar, separuh masak, scramble, omelet dan sewaktu dengannya. Hmmmmm ;)

Wednesday, August 17, 2016

Hasil Terakhir Reban Ayam

Mekar kuning daunnya begitu indah pesona,
Itulah ia pokok kelapa seribu satu guna,
Yang dinantikan kini sudah siap terbina,
Itulah ia reban ayam bagai mahligai istana.

Kerja pemasangan dilakukan pada waktu petang yang permai. Spesifikasi reban ayam ini adalah seperti berikut: Panjang 4 kaki. Lebar 3 kaki. Tinggi dari lantai ke pucuk atap 5.5 kaki. Beratnya secara purata adalah kurang lebih 37 kilogram. Struktur rangkanya diberbuat daripada besi. Dindingnya 80% daripada polikarbonat (polycarbonate) dan juga 20% daripada jaring besi.

Hasilnya: Dinding, atap dan lantai menggunakan bahan daripada papan polikarbonat. Hasil kajian yang saya perolehi menunjukkan bahan ini lebih tahan lama berbanding menggunakan kayu yang mungkin mudah reput. Selain itu papan polikarbonat ini juga dapat mengurangkan bahang haba kerana jisim papannya yang mempunyai rongga-rongga kosong bagi memudahkan pengaliran udara keluar masuk. Seperkara lagi permukaan papannya juga bercirikan lutsinar membolehkan kita melihat ke dalam  reban tersebut dari pelbagai pelbagai sudut seperti contoh gambar di atas. 

Terdapat dua pendekatan telah direkakan bagi kemudahan pintu masuk reban. Pintu pertama merupakan keseluruhan bingkai besar pada bahagian depan (4 kaki) yang dapat dibuka sepenuhnya. Tujuannya adalah agar mudah bagi saya untuk mencapai ke bahagian dalam sekiranya ingin melakukan proses pembersihan. Pintu kedua pula adalah pada bingkai bahagian depan (2 kaki) di sudut bawah sebelah kanan. Merupakan pintu rasmi bagi ayam-ayam keluar masuk ke dalam reban. Pintu ini juga dapat dibuka sepenuhnya ke bawah dan secara tidak langsung boleh menjadi tangga kerana bukaannya berbentuk landai ke dasar tanah seperti tertera pada gambar di atas.  

Begitulah sekadarnya perkongsian saya untuk fasa-fasa pembikinan reban ayam dari awal hingga akhirnya berjaya diselesaikan. Sejujurnya saya langsung tiada pengalaman, kemahiran mahupun pengetahuan dalam melaksanakan projek ini. Akan tetapi tiada istilah mustahil sekiranya azam dan usaha beriringan dalam perilaku personaliti kita. Jika tiada ilmu atau pemahaman maka lakukan sedikit usaha untuk mentelaah informasi dengan membuat kajian dan penyelidikan. Percayalah, kita akan dikurniakan suatu perasaaan yang begitu lapang dan puas apabila kita berjaya membuahkan sesuatu hasil dari manifestasi kita sendiri. Akhir kata. . . . .

Ayam kampung ayam hutan,
Disumbat belaka ke dalam reban,
Jangan jemu jangan segan,
Selalulah lawati blog Riwayat Budiman.

Wednesday, August 10, 2016

Pelan dan Draf Reban Ayam

Setelah menjalankan beberapa kajian dan bacaan tentang asas-asas menyediakan reban ayam, maka sudah tiba saatnya untuk saya merekacipa dan membina sebuah reban ayam yang menepati keadaan persekitaran rumah. Corak, jenis bahan, rekabentuk dan saiznya pun sudah saya kenal pasti. Berikut adalah draf pelan secara kasar akan reban yang ingin saya binakan itu.

Setelah melakar, mengukur dan menstrukturkan pelan, barulah jumlah atau kuantiti bahan-bahan asas binaan dapat dikenalpastikan. Moto reban ayam saya adalah selamat dan mesra pengguna.
Beginilah bentuk keseluruhannya secara kasar. Tidak terlalu besar mahupun kecil. Cukup untuk menampung sepasang keluarga ayam yang harmoni dan lebih penting lagi sesuai untuk menampung saiz halaman rumah saya.

Mungkin agak mustahil untuk saya melakukan segala kerja tukang secara bersendirian. Oleh itu saya telah dapatkan bantuan dari seorang sahabat (abang Zin) yang mahir dalam bidang jurutera binaan. Melalui sahabat saya inilah segala sumber bahan binaan boleh didapati dengan kadar harga rendah berbanding pasaran semasa. Mudah-mudahan dalam beberapa hari lagi akan terbinalah sebuah teratak kecil yang bercirikan moden kontemporari. Bunyinya gah. Nantikan saja hasilnya kurang dari 48 jam dari sekarang.