Sunday, June 12, 2011

Aura Basikal Tua


As'salam
Pernahkah anda disapa, diusik atau ditegur oleh orang awam sewaktu anda mengayuh sepeda klasik anda? Bersiar-siar di kawasan perumahan, taman-taman, pekan, desa, kebun atau walau di mana jua sekali pun kebarangkalian anda untuk menarik perhatian orang terhadap basikal anda adalah bagaikan magnet menarik besi-besinya. Itulah yang teman ingin kongsikan pada ruangan ini tentang pengalaman yang unik bilamana teman bersiar-siar bersama basikal tua lalu disapa oleh orang awam. Pelbagai jenis ragam soalan dan komentar yang ditujukan kepada teman.

Berdasarkan pengalaman teman, kebanyakkan orang awam selalu bertanyakan "
dari mana dapat basikal ni bang?" dituruti dengan soalan "berapa harga basikal ni bang?". Dari segi komentar pula rata-rata mereka komen "susah nak cari basikal ni" dan mereka yang telah berusia sering mengatakan "teringat pakcik zaman muda-muda dulu". Dalam banyak-banyak pengalaman semua ni ada dua reaksi yang boleh dikategorikan agak berani berlaku iaitu ada yang mohon izin untuk tangkap gambar bersama basikal dan ada pula yang mohon menunggang untuk merasai kayuhannya. Macam-macam kerenah dan reaksi manusia apabila berdepan dengan basikal tua. Maka inilah salah satu keistimewaan basikal tua yang mempunyai auranya tersendiri.


Tarikannya bagaikan memandu sebuah kereta ferrari. Wallahu'alam.

Thursday, June 9, 2011

Happy Birthday to Sepeda 28"

As'salam

Maka telah sampailah suatu bungkusan melalui pos laju yang datang jauh dari sebuah negeri terletak di pantai timur. Tidak disangka barangan yang dibeli menerusi laman web mudah.com.my boleh dimuatkan hanya dalam satu bungkusan bersaiz A4 sahaja. Ini merupakan birthday present (kononnya) khas buat basikal teman yang bersaiz 28". Aksesori tersebut adalah cangkuk braket pum, pum tangan, lampu depan dan hon basikal. Memandangkan sepeda tersebut masih belum lengkap aksesorinya, mudah-mudahan dengan adanya barangan ini akan nampak lebih segaklah hendaknya. Maka telah sempurnalah aksesori untuk sepeda 28" ni.
Bungkusan yang diterima.

Pum, hon, lampu dan braket cangkuk.

Hadiah harijadi untuk sepeda 28" (kononnya)


Wednesday, June 8, 2011

Sekali tayar pancit daaa..

As'salam

Al-kisah nak dijadikan cerita, suatu pagi hari minggu yang damai seperti biasa teman bersiar-siar di sekeliling taman perumahan dengan sepeda 24". Tanpa diduga baru nak jejak luar pagar rumah, teman dapati tayar basikal telah pancit dek kerana kepala tiub yang telah rosak. Terpaksalah teman mengangkutnya ke dalam kereta dan terus dihantar untuk pembaikan di kedai basikal yang terletak 300 meter dari rumah teman. Apa yang ingin kongsikan disini adalah uncle kedai basikal tersebut yang mahir serta berpengalaman luas dalam membaiki serta membaik pulih basikal-basikal tua. Maklumlah orangnya pun telah berusia dan tampak minat dengan barangan antik lebih-lebih lagi basikal klasik. Maka kenalah buku dengan ruas lantas basikal teman pun telah elok dibaiki dengan penuh cermat. Jadi sesiapa yang ingin membaiki atau servis basikal tua bolehlah datang ke kedai ini yang terletak di Taman Putra Perdana, Puchong.

Pemeriksaan yang begitu teliti oleh uncle


Maka pembedahan pun dilakukan oleh doktor pakar



Friday, June 3, 2011

Teman Punya Sepeda

Cerita punya cerita tentang basikal sampai teman lupa nak paparkan gambar-gambar tunggangan teman. Secara ringkasnya teman dikurniakan rezeki oleh Allah s.w.t dengan ditemukan dua buah basikal tua. Agak istimewa bagi teman kerana kedua-dua basikal tersebut berpalang dua. Dengan ukuran saiz badan masing-masing 24 dan 28. Maka perlihatkanlah sepeda teman yang tak seberapa ini.

Saiz ukuran 24

Ni abangnya dengan saiz ukuran 28