Saturday, February 2, 2013

Fenomena Dikejar Anjing




Pernahkah dalam sejarah hidup anda dikejar oleh anjing? Jika dilakukan kaji selidik, boleh jadi 5 daripada 10 orang pernah melalui detik-detik cemas dikejar anjing. Jika ditanya teman, sepanjang hidup ini sekurang-kurangnya 5 kali pernah melalui peristiwa tersebut. Peristiwa yang terkini pun baru berlaku sekitar pertengahan tahun lepas dimana teman dikejar oleh anjing liar semasa berbasikal di sekitar taman perumahan. Mujur anjing tersebut cuma mengejar untuk detik sekejap sahaja. Hanya sekitar jarak 2 tiang lampu jalan dan kemudian berhenti patah balik. Setakat ni belum ada peristiwa digigit lagi. Paling rapat pernah dikejar pun dalam jarak 1 meter.


Maka terdapat dua persoalan yang ingin teman kongsikan. Pertama: apakah punca yang menyebabkan binatang tersebut (baik liar mahupun yang bertuan) mengejar anda (baik berjalan kaki mahu pun berkenderaan). Kedua: apakah yang perlu anda buat atau lakukan apabila berdepan dengan situasi seperti ini?


Terdapat beberapa punca atau faktor yang boleh mencetuskan beberapa kemungkinan anjing tersebut mengejar. Antaranya:

1) Anda melalui atau menyesuri kawasan wilayah jajahan mereka yang dirasakan dicerobohi.

2) Anda dianggap sebagai ancaman bilamana anjing tersebut mempunyai simpanan makanan.

3) Sememangnya sudah menjadi lumrah sifat anjing tersebut yang suka mengejar.


Seterusnya kita lihat pula apakah reaksi anda apabila berdepan dengan situasi seperti diatas.
1) Tindak balas yang lazim berlaku secara automatiknya adalah anda akan berlari dan lari dan lari daripada terus dikejar rapat. Cara ini begitu mujarab bagi teman berdasarkan pengalaman yang pernah dilalui dimana anjing tersebut selalunya akan berhenti mengejar pada jarak tertentu.

2) Jika anda berdarah pahlawan, silakan mendepani anjing tersebut dengan menyerangnya menggunakan apa jua cara atau taktik mengikut keselesaan dan persekitaran. Maka anjing tersebut mungkin akan beredar lantaran provokasi lantang yang anda lakukan.

3) Dan jika anda berani serta berhati kering boleh juga anda berhenti bergerak dan tunduk ibarat mengambil sesuatu. Maka anjing tersebut mungkin akan beredar kerana beranggapan sesuatu objek akan direjam atau dilontar ke arahnya.


Saranan dan perbicaraan diatas adalah berdasarkan pengalaman serta pendapat peribadi sahaja. Tiada siapa yang berhasrat agar dikejar oleh anjing apatah lagi sekadar mencuba atau mengambil risiko dengan mengujikaji kemujarabannya. Semoga aktiviti kayuhan basikal anda akan senantiasa selamat tanpa sebarang gangguan atau halangan.