Thursday, July 17, 2014

Sepintas Lalu, Sepuluh Malam Terakhir.

Indahnya suasana malam dipenuhi bintang,
Putih warnanya bagai berlian berkilauan,
Gembiranya ayah sambil tersenyum senang,
Melihatkan anaknya fasih membaca Al-Quran.
Sungguh pantas masa beredar. Sedar tak sedar telah berlalulah separuh Ramadhan bagi tahun 1435 Hijrah. Sejenak nanti akan bertembunglah kita pula dengan baki sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. Pada sepuluh hari terakhir inilah terkandung di dalamnya satu malam yang teristimewa. Malam yang telah dijanjikan dengan pelbagai kelebihan dan ganjaran. Malam yang paling baik, yang terbaik, yang lebih baik dari himpunan seribu bulan. Malam yang hanya insan-insan yang terpilih sahaja yang akan merasai dan menikmati fadilatnya. Itulah ia malam al qadar. Atau lailatul qadar. Sekadar perkongsian mengenai sebutannya bilamana kita menyebut lailatul qadar, tidak perlu untuk melafazkan "malam lailatul qadar". Kerana laila itu sudah pun bermaksud malam dalam bahasa arab. Jika kita sebut "malam lailatul qadar" serupalah kita menyebutnya secara jamak atau lebih dari satu iaitu "malam-malam qadar". Teman doakan agar kita semua akan menjadi insan-insan yang terpilih dalam mengecapi ganjaran dan kenikmatan tersebut. Semoga dirahmati oleh-Nya. Mudah-mudahan insyaAllah.

Usrah adalah kumpulan atau kelompok. Ada juga yang menggelarnya "bulatan keluarga". Inilah usrah teman. Lama teman tidak berusrah menyebabkan hati ini sedikit lesu kerana kempunan tidak diasah serta digasak dengan perbincangan ta'lim dan tarbiyah sesama ahli usrah. Bulatan keluarga inilah yang menjadi sebahagian tulang belakang buat diri teman dalam melahirkan jati diri yang mithali dan nilai keperibadian yang syumul. Marilah sama-sama kita mencari dan membina bulatan keluarga ini yang juga merupakan alternatif kepada sebuah kompleks pendidikan yang kamil lagi komprehensif. Percayalah, indahnya hidup ini taktala bila berusrah.

No comments:

Post a Comment