Monday, October 17, 2016

Lambaian Dari Pandamaran Klang

Tujuh Ratus tiga puluh hari. Dengan erti kata lain bersamaan juga kepada dua tahun. Satu tempoh yang cukup lama. Itulah anggaran tempoh ketidakhadiran ku dalam menceburi mana-mana aktiviti berbasikal klasik. Kepada mereka yang mengenali ku, mungkin mereka sudah akur dan faham terhadap pengorbanan masa ku lebih-lebih lagi pada setiap hujung minggu. Kadang-kadang tu terdetik juga rasa terkilan akan ketidakupayaan aku untuk mengikuti aktiviti kayuhan. Moga ada hikmahnya. Semoga Allah mengurniakan kita kemudahan dan hidayah dalam menguruskan segala tanggungjawab baik berkaitan duniawi mahupun akhirat. Aamiiin.

Suatu perkhabaran baik telah aku terima. Iaitu pada tanggal 30hb Oktober ini akan berlangsungnya sebuah acara berbasikal klasik yang bakal diadakan di Pandamaran Klang. Perkhabaran ini membuatkan aku begitu teruja. Manakan tidaknya, ia merupakan sebuah program yang cukup terkenal (dari segi lokasinya) buat semua penggiat basikal klasik dengan kemeriahan dan kesemarakannya. Acara yang bakal berlangsung ini bukanlah sebuah acara julung kalinya. Ia telah pun diadakan beberapa kali dan aku berkesempatan menyertainya sebanyak dua kali. Tiadalah aku berhasrat ingin mencoretkan pengalaman tersebut di artikel ini. Akan tetapi kepada mereka yang ingin mengetahui cebisan kenangan acara tersebut bolehlah menyusuri pada beberapa foto berikut serta disertakan sekali pautan link kepada artikel acara yang lepas seperti di bawah ini:- 

  1. 2.Pengalaman Kayuhan "B.E.S" Di Klang  (Klik untuk artikel lengkap)


Perasaan teruja ku ini sebenarnya bercampur aduk dengan perasaan khuatir. Kekhuatiran ini adalah kerana acara pada tarikh 30hb ini bakal bertindih dengan rutin tanggungjawab yang digalas pada setiap hujung minggu. Walau bagaimanapun akan aku usahakan satu jalan penyelesaian supaya program tersebut dapat aku sertai jua. Sudah lama rasanya tidak ketemu rakan taulan. Ingin sekali aku bertanyakan khabar mereka, bergurau senda dan yang paling seronok adalah berkayuh basikal klasik beriringan dengan mereka. Dapatkah aku mengikuti acara ini? In shaa Allah nantikan perkhabaran selanjutnya tidak lama lagi.  

No comments:

Post a Comment