Friday, January 29, 2016

Keroncong Mala Sari (Bahagian 1)

Bukan menjadi kebiasaan ku untuk menunggang basikal pada sebelah malam. Lebih-lebih lagi sekitar waktu seperdua malam. Segalanya bermula dari bunyi keroncong. Bukan irama keroncong yang sering aku dengari dari saluran radio Klasik fm. Akan tetapi bunyi keroncong itu datangnya dari perutku yang memberi isyarat tanda lapar. Jika sekadar minda dan akal yang mencetuskan reaksi isyarat lapar pada diriku, itu tidak mengapa lagi. Tapi bila disusuli dengan bunyi semboyan gendang gendong dari perut, maka itu sudah memberikan indikasi petanda lapar yang telah menjangkau paras kritikal. Jika tidak dialaskan perut ini, kebiasaannya fenomena gastrik akan datang menyergah.

Dalam keadaan sebegini teringin pula rasanya perut ini hendak menghadam juadah kueh teow goreng basah atau lebih dikenali sebagai char kueh teow. Mujur ada satu gerai yang menjual kueh teow goreng di kaki lima berhadapan deretan kedai runcit berdekatan dengan taman perumahan ku. Jam di dinding menunjukkan lagi 35 minit tepat pukul 12 tengah malam. Aku pula diambang antara malas dan rajin. Akhirnya aku membuat keputusan untuk melancarkan satu kunjungan mengejut ke gerai tersebut bagi memenuhi rintihan dari perutku yang telah dimasuki angin ini. Selesai sudah otakku memproses satu operasi membuat pilihan untuk pergi membeli makanan. Sekarang otak ku melangkah operasi fasa kedua dalam memilih kaedah apa yang ingin digunakan untuk ke destinasi tersebut. Satu persatu pilihan yang tampil ke kotak mindaku. Antara menaiki kereta atau berjalan kaki. Kedua-duanya tidak seberapa praktikal. Jarak yang terlalu dekat untuk dinaiki kereta serta terlalu jauh untuk berjalan kaki. Lantas yang paling sesuai bagi memenuhi ruang diantara tengah itu tentu sekali dengan berkayuh basikal.




Hanya lapan minit diperlukan untuk aku sampai ke destinasi dengan berkayuh basikal. Mujur gerainya beroperasi pada malam ini. Jika tidak kempunan dibuatnya. Dengan hanya berbekalkan sehelai wang kertas berwarna hijau sudah lumayan untuk aku menikmati juadah yang paling eksklusif dari paparan menunya. Tapi memadai bagiku dengan santapan kueh teow goreng basah yang tak berapa basah. Cekap dan pantas gerakan tangan tukang masaknya. Alunan tangannya mengelolakan bahan-bahan masakan di dalam kuali hitam yang panas dengan nyalaan dapur api yang besar itu tampak bertautan dan tidak rumit. Dari raut wajahnya aku dapat rumuskan akan keikhlasan, ketekunan dan keasyikannya dalam menyediakan santapan yang menyelerakan kepada pelanggan-pelanggannya yang setia menunggu. Ternyata apabila sesuatu tugasan itu dilakukan dengan penuh dedikasi pasti akan membuahkan persepsi yang terpuji.


Alah bisa tegal biasa,
Putih seri hitam gelita,
Manis pahit bercampur rasa,
Bagaimana nikmati menu tercipta.


Maaf jika tulisanku ini mungkin memjemukan. Hakikatnya inilah coretan dari hasil jejak hidup yang telah aku formasikan. Al kisah pengembaraan dan ekspedisi ku pulang ke rumah. Terdapat banyak pilihan jalan yang boleh dilalui dari gerai ini ke teratak rumahku. Maka laluan yang aku pilih adalah antaranya akan menyusuri sebuah padang yang mempunyai taman permainan di tengahnya. Suasana perjalanan pulang ke rumah begitu sunyi sepi sekali. Persekitaran pula tampak lengang tanpa sebarang aktiviti dan kelibat manusia. Ditambah pula dengan keadaan atmosfera yang gelap gelita. Hanya lampu jalan serta lampu hadapan basikal jenama Sturmey Archer sahaja yang memudahkan sedikit penglihatanku untuk meninjau pemandangan di sekeliling. Rumah-rumah di kiri dan kanan ku semuanya sunyi sepi belaka. Tiba saatnya untuk aku melewati padang permainan itu. Semasa aku ingin menyusuri padang permainan tersebut, tiba-tiba mataku tertarik kepada suatu objek yang sepatutnya berkedudukan statik dan kaku tetapi menjadi sebaliknya. Objek yang aku maksudkan itu adalah salah satu daripada buaian gantung untuk kanak-kanak yang terdapat di taman permainan itu.

Bulan purnama yang kilau bercahaya menyuluh panorama persekitaranku yang malam suram
 
Ntah mengapa, aku lepaskan sahaja daya kayuhan basikal ku lantas membiarkan momentum pusingan roda basikal berhenti secara perlahan-lahan. Pada saat basikal ku berhenti, aku telah pun melepasi dan membelakangi lokasi buaian itu sejauh lima belas meter. Aku mengambil beberapa detik untuk berbual bicara bersama hatiku. Benarkah apa yang aku nampak tadi? Atau apakah ia sekadar mainan perasaaan semata-mata? Hanya ada dua pilihan sahaja yang bakal aku lakarkan terhadap situasi ini. Pertama, patutkah aku menoleh ke belakang untuk dapatkan kepastian akan apa yang telah aku saksikan tadi? Kedua, abai dan lupuskan sahaja perihal was-was ini dengan meneruskan kayuhan basikal ku tanpa menoleh ke belakang. Fikir punya fikir. Pertimbangan demi pertimbangan. Akhirnya kata sepakat minda dan hatiku berjaya membuahkan hasil. Maka pilihan yang pertama telah aku sahut untuk dijadikan sebagai sebahagian suratan takdir dalam riwayat hidupku.
Tidak terkelip mataku dibuatnya. Bercermin mata atau tidak, teropong mata ini masih sihat untuk menidakkan skop penglihatan yang musykil lagi mustahil.
 
Tiba-tiba iklim di sekeliling menjadi sejuk yang menyucuk. Walaupun dingin tapi keringat peluh di dahi ku sudah mencurah hampir seperti seorang pemain badminton yang sepertiga di babak set pertama. Sebelum menoleh, mataku dibuka seluas-luasnya agar pemandangan tidak bercelaru. Nafas dihembus tarik panjang agar berada pada posisi yang tidak mengelabah. Tanpa berlengah lagi, dengan lafaz Bismillah. Perlahan-lahan aku tolehkan kepalaku ke arah buaian tersebut. Ohhhh. Alangkah indahnya hidup ini sekiranya aku memilih pilihan yang kedua tadi. Mengapakah aku tidak teruskan sahaja kayuhan tadi? Kenapa aku tidak boleh endahkan sahaja perihal ini dan teruskan sahaja pulang ke rumah? Nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Namakan sahaja apa jua peribahasa yang berkait dengan penyesalan. Saat keterlanjuran telah berlalu, ia tidak akan sama sekali dapat membantuku untuk memutarkan masa ke belakang semula.


Nasib padi dapat dijangka,
Tanam di bendang biar sekata,
Buah cempedak sudah menjadi nangka,
Apa lagi hendak dikata.


Maaf. Tanpa diduga aku kehilangan kata-kata. Secara tiba-tiba aku kekosongan buah fikiran untuk memggubah ayat dan perkataan. Barangkali sudah kepenatan memikirkan rehlah yang penyapa ke dalam hikayat kehidupanku ini. Lagipun peristiwa ini masih jauh jalan ceritanya. Isi kandungannya masih berjela panjang lagi untuk dinukilkan. Nantikan sambungannya. Untuk itu izinkan aku meminjam slogan atau cogan kata dari sebuah siri domentari yang pada suatu ketika dahulu lazimnya ditayangkan sekitar lewat larut malam. Iaitu "Jangan biarkan diri anda diselubungi dengan rasa gelisah yang penuh misteri". Itulah Misteri Nusantaraaaaa. In shaa Allah akan aku sambung perkongsiannya dalam masa terdekat ini.

No comments:

Post a Comment